Rupanya masih ramai yang terkeliru antara ketaatan, penghormatan dan
keutamaan terhadap ibu bapa. Hukum asalnya anak-anak wajib mentaati ibu
bapa berdasarkan al-Quran dan Hadis. Setelah masing-masing mentaati ibu
bapa bertemu pula dengan sebuah hadis yang menyebut tiada ketaatan dalam
perkara yang membawa maksiat atau dosa. Di sini mereka mula keliru lalu
anak-anak dengan senang-senang memaki hamun ibu bapa yang membuat dosa
dan maksiat.
Perlu dijelaskan di sini, mentaati adalah pada perintah, maknanya
kalau ibu bapa memerintah anak itu melakukan sesuatu maka wajiblah
ditaati sama ada redha atau tidak. Maka kalau ibu bapa suruh anaknya
bercakap baik, wajiblah dia mentaatinya. Kalau ibu bapa suruh anak itu
beri sedekah kepada orang miskin maka wajib lah dia memberi, kalau ibu
bapa suruh anaknya belajar sungguh-sungguh wajiblah dia mentaatinya.
Tapi kalau dia suruh anaknya main judi, tak wajib taat, kalau ibu bapa
suruh anaknya beli rokok tidak wajib taat.
Persoalan sekarang, apabila anak tidak wajib taat perintah ibu bapa
tersebut, bolehkah mereka menengking atau membenci ibu bapanya?
Anak-anak sama sekali tidak boleh bertindak sedemikian terhadap ibu
bapa. Sebaliknya anak-anak tetap wajib menghormati ibu bapanya dalam
keadaan apa sekali pun. Maknanya anak wajib menghormati ibu bapanya
sebagai ibu bapa, bukan kawan apatah lagi musuh. Bercakap dengan sopan
dan tidak meninggikan suara di hadapannya.
Jelas di sini, menghormati ibu bapa bukan sahaja pada keadaan dia
memerintah tetapi dalam semua keadaan. Sebagai contoh, isteri wajib taat
kepada suaminya, dan tidak wajib taat kepada ibu bapanya, namun dia
tetapi wajib menghormati kedua-duanya. Kalau begitu tentu tidak wajar
anak menengking ibu bapanya apabila ibu bapa tidak mahu mengikut
kehendaknya. Ingatlah sikap anak ini adalah termasuk dalam kategori anak
derhaka.
Menyedari keadaan itu, si anak tidak boleh bersangka buruk kepada ibu
bapanya. Maka kalau ada desas desus orang lain menceritakan keburukan
ibu bapanya dia wajib mempertahankan ibu bapanya dan pada masa yang sama
perlu mendapatkan pejelasan ibu bapanya dengan cara terhormat. Kalau
memang mereka bersalah nasihatkan dengan baik agar bertaubat, bukan
memulaukan mereka.
Selain itu timbul soalan lain berdasarkan hadis Nabi SAW yang
bermaksud: Abu Hurairah radhiallahu ‘anh berkata: Seorang lelaki datang
menemui Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan bertanya: “Siapakah
manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ayah kamu.” (Bukhari dan Muslim)
Apa yang disebut dalam hadis ini bukan isu mentaati atau menghormati
tetapi di sudut keutamaan antara kedua ibu bapa itu siapa yang lebih
berhak diberi perhatian. Rasulullah menetapkan bahawa ibu yang patut
diberi keutamaan berbanding bapa. Maknanya soal taat sama, soal
menghormati sama, tetapi dalam soal keutamaan berbeza.
Jadi, jangan ada
dalam kalanang umat Islam yang mengatakan anak wajib lebih mentaati ibu
daripada bapanya. Kesilapfahaman ini perlu diperbetulkan semula.
Sebenarnya konsep ini boleh dipakai dalam soal mentaati pemimpin dan
suami. Maka rakyat wajib mentaati pemimpin dalam soal perintah dan wajib
menghormati pemimpin atas sifatnya sebagai seorang pemimpin. Semoga
dengan penjelasan ini umat Islam akan lebih harmoni dalam rumah tangga
dan bernegara. Wallahu aklam.
(Oleh: Ustaz Ahmad Baei)
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
EmoticonEmoticon